FEBRUARI 2023

Lapan Kawasan Rehat Ditempatkan Di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak


KUALA LUMPUR: Lebuh raya Pan Borneo (LPB) di Sarawak akan mempunyai lapan kawasan rehat iaitu tiga Rest and Service Area (RSA) dan lima Layby.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata RSA terbabit ialah Jelukong di Lubok Antu; Sg. Basai di Selangau; dan Lambir di Miri manakala Layby pula di Lundu, Roban di Saratok;Julau; Sg. Semanok di Bintulu; danSuai di Niah.

Katanya, RSA terbabit menyediakan kemudahan asas untuk pengguna jalan raya untuk berehat dan solat.

"Justeru, usahawan tempatan boleh menjana pendapatan dengan mengusahakan kemudahan kedai makan dan pasar tamu di RSA,"katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini.

Alexander berkata, selain projek LPB Sabah dan Sarawak, Kementerian Kerja Raya juga sedang di peringkat perancangan menambahbaik jaringan jalan raya ke Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

Antaranya Transborneo yang akan menambahbaik jalan Persekutuan sedia ada di Miri, Limbang dan Lawas melalui Brunei; dan Sarawak-Sabah Link Road yang akan menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas dan seterusnya ke Ba’ Kelalan.

Di samping itu, cadangan jalan sempadan dan jalan ke sempadan di antara Sarawak dan Kalimantan telah diambil kira dalam Kajian Semula Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) bagi mengenal pasti jajaran terbaik untuk penelitian lanjut bersama agensi pusat.

Sumber dari : Jiwa Bakti